Saturday, 3 December 2011

Rahsia Hati Dari Adik

Assalamualaikum, 


Buat tatapan umi yang tercinta, 


Umi, terlebih dahulu, ampunkan adik kerana tidak dapat berjumpa dengan umi seperti yang umi hajatkan. Adik tetap pulang, cuma pulang dengan jasad, tanpa roh dan nyawa. Kesatlah air mata tu umi, adik tak tahan tengok umi menangis. Umi sayang adikkan, umi jangan marah adik kerana tidak pulang kepangkuan umi dengan segera. 


Umi, maafkan adik kerana tidak memberitahu perkara sebenar dari awal. Adik tak mahu, dengan pendedahan penderitaan penyakit ini, along dan angah akan menuduh adik sengaja memancing perhatian abah dan umi. 


Umi, adik terlalu rindukan umi. Adik rindu kucupan hangat umi, adik rindu untuk tidur dalam dakapan kasih umi. Adik rindu untuk menatap wajah bersih umi, senyum manis umi, adik rindu belaian lembut umi. 


Umi, adik sakit. Adik terlalu derita umi. Perit umi, adik dah tak tahan lagi. Ubat yang doctor bagi pahit, tak seenak masakan umi, tak sesedap kuih tepung pelita kegemaran adik yang umi selalu buatkan. Pagi tadi, adik pergi hospital lagi, doctor beri adik suntikan, hancur lengan adik dengan tosokan jarum, umi. Adik ingin menangis, adik ingin merayu kepada doctor agar jangan cucuk tubuh badan adik. Adik tak sanggup lagi. Telah bertiub darah dari urat adik doctor ambil.Kalau masa kecil dulu, umi ada untuk tuamkan lebam dilengan adik, kini adik sendiri, menghadapi segalanya seorang. Memang patut pun begitukan umi, bukankah adik sebenarnya hanya sendirian dimuka bumi ini. Bukankah dari awal lagi adik telah terbuang, adik tidak diterima sesiapa. 


Umi, adik ingin meminta pertolongan umi. Adik tahu, hanya pada umi adik dapat hamparkan secebis harapan. Adik tak punya sesiapa, adik hanya ada umi. Satu-satunya insan yang adik sayang, yang adik kasih dan adik junjung cinta hingga kehujung nyawa adik. 


Umi, minta adik, sampaikanlah salam adik, salam penuh kasih sayang, salam yang sarat dengan penghargaan dan terima kasih, buat abah, along dan angah. 


Umi, khabarkan pada mereka, adik terlalu kasihkan mereka. Beritakan pada mereka, adik tidak pernah menyimpan sebarang dendam atau rasa marah dihujung hati ini terhadap mereka. Yang ada dalam hati adik, hanya rasa kasih, sayang dan cinta yang tak pernah padam walaupun telah ditiup dengan pelbagai tohmahan, tuduhan, hinaan dan kebencian. Adik tetap anak umi yang umi susukan sejak kecil, adik tetap adik yang pemaaf, pengasih dan penyayang. 


Umi, jelaskan pada mereka, adik telah ampunkan segala ketelanjuran mereka, samada bicara atau perbuatan mereka terhadap adik. Adik faham, kehadiran adik telah merampas kemakmuran dan kebahagiaan mereka. Adik mengerti, perbuatan mereka didorong rasa terancam dengan kehadiran adik.


Umi, katakan pada abah, adik terlalu menghormatinya. Tanpa abah adik tak akan belajar sampai pandai.Cuma, adik tak sempat menghadiri konvokesyen, adik tak sempat mendengar ucapan yang teramat adik rindu dari bibir abah, ‘tahniah adik’. Adik harap abah akan tetap ucapkan tahniah, walau tanpa adik didepan abah. Tanpa abah, adik tidak mampu berdikari diatas kaki sendiri. Hulurkan salam peluk cium dari adik untuk abah. Sujud sembah ampun adik untuk abah, rayulah bagi pihak adik umi, agar abah halalkan segala makan, minum dan perbelanjaan abah dalam membesarkan adik. 


Umi, adik terlalu sakit umi. Setiap hari adik pohon dalam doa, agar Allah leraikan penderitaan ini. Adik tak lupa juga panjatkan dalam doa adik, agar Allah pelihara umi, abah, along dan angah. Adik minta Allah berkati hidup kita sekeluarga. Adik memohon agar andai nyawa yang dipinjamkan diambil semula, biarlah ada orang yang sudi hulurkan walau hanya sepotong ayat Al-Quran untuk adik. Rayu adik pada umi, hadiahkanlah surah yassin untuk adik. Mesti adik akan senyum, adik pasti bahagia walau adik pergi dalam derita yang teramat. Adik suka dengar suara umi melagukan bacaan Al-Quran. Adik tenang mendengar setiap kalimah yang umi baca. Adik akan terus rindukan suara umi yang lemak merdu itu. Tolong ya umi, sampaikan pada abah, along dan angah, hadiahkanlah adik bacaan yassin, adik tak minta banyak. Tak perlu keluarkan wang, tak perlukan tenaga yang banyak, sikit aje adik minta, minta dengan penuh harap, hadiahkan lah adik dengan sesuatu yang adik suka. 


Umi, adik rasa Allah sayangkan adik. Mungkin hari ini, Allah akan makbulkan doa adik. Mungkin hari ini adalah pengakhiran derita adik. Allah akan mansuhkan penyakit adik umi. Adik pernah bermohon, andai kematian adalah pengakhiran derita ini, adik sedia menerima. Adik sedia pergi dulu walaupun usia adik masih muda. Adik sedia meninggalkan muka bumi ini walaupun adik masih belum puas bermanja dengan umi. Lagipun, tiada siapa yang akan meratap pemergian adik nanti. Yang adik pasti, hanya umi seorang yang akan merasa kehilangan adik. Umi seorang yang akan bersedih dengan pemergian adik. Tapi, adik yakin, sedih umi hanya sekejap. Kepiluan umi akan terubat dengan adanya abah, dengan kehadirang along dan angah dalam hidup umi. Pastinya warna kehidupan umi indah, ceria walau tanpa adik. 


Umi, dipengakhiran warkah ini, adik dengan rasa rendah diri, dengan penuh kasih, memohon ampun dan maaf dari umi. Adik pinta halalkan seawal titis susu yang umi suapkan hinggalah segala apa yang adik makan atau minum. Setiap kelakuan adik, setiap kesilapan, pinta adik, ampunkanlah. Rayu adik pada umi, sayangilah adik walau adik telah tiada. Pada abah, along dan angah jua, maaf adik pinta, dari hujung bilah rambut hingga kehujung jari kaki, sepuluh jari adik susun, relakan pemergian adik. Jangan ada sebarang kesalan, jangan simpan rasa kecewa dalam hati. Biarlah apa yang terjadi, dibawa angin lalu, yang lepas biar jadi sejarah.Terima kasih yang tak terhingga kepada umi dan abah kerana sudi mengasuh adik, walaupun ibu kandung adik sendiri menolak kehadiran adik dibumi ini. Hanya Allah yang akan membalas jasa umi dan abah. Adik redha dengan ketentuan yang diturunkan Allah ini. Segalanya punya hikmah yang tersembunyi. 


Umi, sayang rasanya untuk pergi, ralat rasanya tidak dapat menatap wajah umi sebelum adik berangkat. Teringin sangat adik mendakap tubuh umi, mencium seluruh wajah umi. Izinkan umi, adik mengucup tangan dan wajah umi dalam hayalan…. 


Umi, abah, along dan angah, adik minta izin untuk pergi. Lambaian akhir ini, adik harap sudi disambut oleh kalian. Jangan iringi jasad adik dengan air mata. Rugi membazir air mata untuk seorang anak dan adik yang tak pernah bersinar dalam keluarga. Iringilah adik dengan doa agar adik tidak dicampak kedalam relung panas menyambar, InsyaAllah. 


Salam kasih, salam penuh kecintaan untuk umi tersayang, abah, along dan angah terkasih, ampun kan adik, redhalah dengan takdir ilahi. Assalamualaikum. 


-Nukilan Hati Dari Adik-

# anyway, ini copy paste ! saje nak share kat anda :)

No comments: